Follow Us @bijak.sihat

24 Mei 2016

Realiti Tentang Penyakit Resdung

Jika ada orang mengadu kepada anda "Saya ada resdung.", itu sebenarnya membawa maksud yang mereka kerap mengalami antara simptom-simptom seperti berikut:
  • selesema
  • hidung berair
  • hidung tersumbat
  • hidung gatal
  • batuk
  • gatal tekak
  • mata gatal dan berair
  • lingkaran gelap bawah mata
  • sakit kepala yang kerap
  • tanda-tanda ekzema, seperti mempunyai kering yang terlalu kering, gatal dan selalu lecur
  • keletihan melampau
  • merah pada kulit disebabkan gatal, dan lebam
Jika ada orang pula mengadu kepada anda "Saya ada sinus." untuk merujuk kepada simptom-simptom di atas, ia tidak benar! Balas kepada mereka, "Saya juga ada Sinus!".


REALITI TENTANG SINUS DAN RESDUNG


Ihsan dari www.webmd.com

Tahukah anda, SINUS dalam bidang perubatan merujuk kepada suatu rongga atau ruang seperti sinus vena atau sinus hidung. Sinus Hidung pula ialah rongga udara yang diselaputi mukosa di dalam tulang tengkorak. ia berhubung dengan sinus lain seperti sinus ethmoid, frontal, maksilari dan sphenoid. Jadi, secara istilah SINUS tidak lebih dari membawa maksud yang merujuk kepada struktur normal rongga hidung yang dimiliki oleh setiap orang.

RESDUNG pula, ialah istilah Melayu yang sering digunakan. Mengikut Kamus Dewan, Resdung ialah penyakit hidung yang disebabkan oleh keradangan pada selaput sinus.

APAKAH RADANG?

Radang ialah reaksi alergi yang berlaku apabila sistem imun badan kita terlebih bertindakbalas terhadap suatu jangkitan. Bagi penyakit resdung, jangkitan ini berlaku di sinus hidung akibat bahan pencetus alergi yang kita hidu seperti habuk, debunga dan bulu haiwan peliharaan kucing contohnya.

RESDUNG IALAH PENYAKIT RADANG PADA HIDUNG

Dr. Ahmad Nordin, seorang doktor yang juga menulis di The Malaysian Medical Gazette berkongsi 2 jenis penyakit utama yang dikaitkan dengan Resdung iaitu:

1) Alahan Rinitis (Rhinitis Allergy)
          
Antara gejala radang jenis ini ialah hidung tersumbat, berair, bersin dan gatal. Ia kadangkala dicetus oleh  makanan, cuaca dan debu. Di dalam hidung kita, terdapat liang-liang (turbinates) di sisi hidung yang berfungsi untuk melembapkan hidung sebelum udara dapat diserap ke peparu kita semasa pernafasan. Pesakit alahan jenis ini mempunyai liang yang lebih besar daripada orang normal akibat demam selesema atau jangkitan bakteria di mana darah akan tertumpu di kawasan itu bagi melawannya. Di dalam komuniti perubatan moden, doktor akan memberikan pesakit ubat anti-histamin dan ubat semburan jenis steroid jika keadaan agak teruk.

2) Sinusitis

Antara gejala Sinusitis pula ialah hingus berwarna kuning, kehijauan atau berdarah. Pesakit juga mengalami sakit kepala yang teruk, sakit di dahi dan muka terutama di tengah hidung dan pipi, serta demam dan hidung tersumbat. Rawatan adalah berbentuk ubat penahan sakit, pengairan hidung oleh suatu cecair khas dan ubat antibiotik diberi juga sekiranya ada jangkitan. Bagi kes yang kronik, ubat semburang hidung steroid akan diberikan untuk mengurangkan radang. 


Tiada ulasan: