Follow Us @bijak.sihat

10 Julai 2017

6 Tip Kekal Bertenaga Semasa Puasa

Berpuasa memang menguji lapar dan dahaga. Lemau ke ketika berpuasa? Sehingga membuatkan potensi kerja menurun? Eh jangan begitu. Puasa Ramadhan dan puasa-puasa sunat difardhukan kepada umat Islam supaya kita lebih bersyukur di samping melatih melawan nafsu bukan sekadar lapar dahaga, tetapi nafsu amarah dan sifat-sifat mazmumah juga. Jadi berpuasa bukan alas an untuk kita lemau, bermalas-malas dan terlepek tak bertenaga. Jomlah kekal bertenaga semasa puasa!


Tip ini diolah semula di atas inspirasi perkongsian oleh Dato’ Dr Rajbans Singh, Presiden Persatuan Kesihatan Malaysia di dalam risalah Shaklee edisi Jun 2017. Walaupun sekarang kita sudah berada di bulan Syawal selepas sebulan menempuh puasa bulan Ramadhan, semoga tip ini dapat digunakan pula untuk menjayakan puasa 6
pula ya! Semoga bermanfaat hendaknya.


6 Tips Kekal Bertenaga


1. Makan Dengan Seimbang
Apabila berbuka puasa, pastikan banyak mengambil buah, sayuran dan sup manakala elakkan makanan tinggi lemak dan gula. Buahan kering seperti kurma, apricot, prun dan kismis pula sesuai dijadikan pembuka ketika berbuka puasa sebagaimana disarankan oleh amalan Rasulullah saw di dalam hadisnya. Lagi pula, memulakan berbuka dengan kurma memang ada kebaikannya kerana ia memberikan tenaga segera, mineral, serat dan vitamin lainnya.

2. Kekal Aktif 
Ketika berpuasa, mungkin aktiviti bersenam tidak dapat dilakukan secara kerap seperti ketika tidak berpuasa. Yalah, agak penat dan tak bertenaga juga kan kalau berjoging seperti selalu, silap-silap jangan pecah pula puasanya. 
Walau begitu, senaman masih boleh dilakukan pada waktu malam iaitu selepas berbuka puasa. Amalan bersolat terawih pada malam-malam Ramadhan amat baik kerana di samping mengejar pahala, badan juga bergerak aktif. Ditambah pula jika berjalan kaki ke masjid. Jika bukan di bulan puasa, jika senaman tidak dapat dilakukan pada waktu malam kerana kekangan masa, boleh juga lakukan senaman ringkas ketika lewat petang, iaitu ketika sudah hamper waktu berbuka. Jadi tenaga yang dikeluarkan dapat diganti dengan segera ketika berbuka. 
           3. Elak Makan Berlebihan 
Memang terliur apabila dihidangkan dengan pelbagai makanan kan?
Ketika berpuasa, nafsu makan seakan-akan melonjak. Semua makanan ingin dirasa, dimasak mahupun dibeli. Lagi-lagi, ada pula pasar malam atau bazaar makanan. Berpada-padalah ketika makan, jangan sampai terlebih pula sehingga memudaratkan badan. Terlebih makan juga boleh menyebabkan badan menjadi lemah dan malas. Jadi elakkan ya! 
Bagi pesakit tertentu seperti pesakit kencing manis, darah tinggi dan jantung contohnya pastikan sentiasa menjaga pantang-larang pemakanan untuk sakit anda masing-masing. Beringat-ingat selalu kerana nikmat sihat itu lebih berharga daripada nafsu makan yang membuak-buak. 
          4. Rehat Secukupnya 
Bersahur memerlukan kita bangun lebih awal daripada hari-hari biasa. Ditambah pula jika kita bangun malam untuk menambah ibadah-ibadah sunat. Biarpun kita mengorbankan waktu tidur, jaga abaikan waktu rehat yang sepatutnya untuk diri anda. Tidurlah lebih awal selepas solat Isyak mahupun berterawih. Tidur qailullah seketika ketika sebelum Zohor dan pastikan anda mendapat tidur yang berkualiti setiap malam. 
          5. Kekal Terhidrat 
Bila berpuasa, kita lebih cenderung untuk merasa dahaga berbanding lapar sebenarnya, lagi-lagi apabila cuaca panas. Tanda-tanda badan kita terdehidrasi (kurang air) ialah merasa pening, penat dan kurang fokus. 
Pastikan kita sentiasa mencukupkan keperluan 8 gelas air kosong sehari biarpun ketika Ramadan atau  hari-hari lain kita berpuasa. Amalkan sup dan buah yang tinggi kandungan air seperti timun, tembikai, tomato dan oren. Elakkan teh dan kopi kerana ia menggalakkan badan kita kekurangan air, jadi badan lebih cepat terdehidrasi. Elakkan terlalu banyak meminum jus buahan kerana kandungan gulanya yang banyak boleh mengaktifkan paras insulin; anda cepat kenyang tetapi cepat lapar kembali. Kurangkan pengambilan garam juga supaya penghasilan air kencing tidak kerap. 
           6. Fokus pada Nutrisi 
Utamakan NUTRISI, bukan KUANTITI
Kita cenderung untuk makan banyak ketika bersahur mahupun berbuka, kerana kita takut tidak tahan berpuasa. Namun awas jangan kita abaikan nutrisi yang penting kepada tubuh. Jangan makan nasi saja yang banyak sehingga terlupa untuk makan sayur dan buah. Juga jangan tertinggal mengambil protein dan lemak secukupnya dengan seimbang.

Karbohidrat seperti nasi memang penting untuk memberi kita tenaga untuk tahan berpuasa, tetapi kita juga perlu faham badan kita turut memelukan nutrisi lain untuk menjalankan setiap fungsinya. Jangan abaikan itu. Makan vitamin jika perlu. Pastikan makan makanan berkhasiat, kaya nutrisi dan awasi kuantiti supaya sentiasa seimbang.

Tiada ulasan: